Thursday, March 31, 2011

SOALAN LAZIM (Qurban/Aqiqah)

QURBAN


APAKAH ITU IBADAH QURBAN?
Definisi dari segi hukum syara’ ialah binatang ternakan seperti kambing,lembu atau kerbau yang disembelih pada Hari Raya Adha atau pada hari-hari Tasyrik ( 11,12 dan 13 Zulhijjah ) dengan niat untuk menghampirkan diri kepada Allah Taala.


BILA & BAGAIMANA MELAKSANAKAN QURBAN?
Ibadah Qurban boleh di lakukan dengan menyembelih sendiri haiwan ternakan atau mewakilkannya kepada pihak lain. Waktu bagi melakukan ibadah ini hanya pada hari yang di khususkan oleh syara’ iaitu pada mana-mana diantara 10, 11, 12, dan 13 Zulhijjah setiap tahun.


APAKAH HUKUM IBADAH QURBAN?
‘Maka bersolatlah kamu untuk Tuhanmu dan bersembelihlah (berqurban untuk Tuhanmu)’(Al-Kausar : 2 )


Hukumnya Sunnat Muakkad (Sunnat yang dituntut) atas orang yang memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
  • Islam
  • Merdeka (Bukan hamba)
  • Baligh lagi berakal
  • Mampu untuk berqurban
Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud:

"Aku disuruh berqurban dan ia sunnat bagi kau." (Riwayat al-Tirmizi).

"Telah diwajibkan kepada ku qurban dan tidak wajib bagi kamu." (Riwayat Daruqutni)



“Siapa yang mempunyai kelonggaran (harta), namun ia tidak melaksanakan qurban, maka janganlah ia mendekati masjidku” (HR. Ahmad, Ibnu Majah).

Walaupun hukum berqurban itu sunat tetapi ia boleh bertukar menjadi wajib jika dinazarkan. Ini berdasarkan sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang bernazar untuk melakukan taat kepada Allah, maka hendaklah dia melakukannya." (Rujuk: Fiqh al-Sunnah)


APAKAH BINATANG YANG DIBENARKAN UNTUK IBADAH QURBAN?
Unta, lembu, kambing, kerbau, kibas dan yang seumpama dengannya.


BERAPA BILANGAN/BAHAGIAN BINATANG UNTUK QURBAN?
Bagi setiap seekor lembu, unta atau kerbau itu boleh dibahagi kepada 7 bahagian. Bahagian paling sedikit yang harus dilakukan oleh seseorang itu adalah satu bahagian dan tiada batas untuk bilangan paling banyak,  mengikut kemampuannya. Seekor kambing tidak boleh dibahagi mengikut bahagian seperti lembu. Maka bagi setiap kambing itu adalah untuk seorang muslim sahaja.

BOLEHKAH SAYA WAKILKAN PELAKSANAAN IBADAH QURBAN?
Hukumnya adalah harus.




AQIQAH

APAKAH IBADAH AQIQAH?
Menyembelih haiwan pada hari ketujuh dan mencukur rambutnya (definisi menurut kitab Imam Ibnul Qayyim). Aqiqah sebagai ibadah yang telah disyariatkan oleh  Allah s.w.t. sebagaimana penjelasan Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu  terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ketujuh (daripada hari kelahirannya), dicukur dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah)


BILA AQIQAH DILAKUKAN?
Boleh dilakukan dari bayi baru lahir sehingga akil baligh. Afdhal/utama ialah pada hari ke tujuh kelahiran bayi itu. Rasulullah bersabda “Semua anak bayi tergadai dengan aqiqah yang pada hari ketujuh disembelih haiwan, diberi nama dan dicukur rambutnya" (Hadits Riwayat Abu Dawud 2838, Tirmidzi 1552, Ibnu Majah 3165, Ahmad 5/7-8, 17-18, 22, Ad Darimi 2/81)


APAKAH HUKUM AQIQAH?
Hukumnya sunat mu'akad (dituntut).


APAKAH NAS-NAS BERKENAAN AQIQAH?
Rasulullah bersabda “Aqiqah dilaksanakan kerana kelahiran bayi, maka sembelihlah haiwan dan hilangkanlah semua gangguan darinya" (Riwayat Al-Bukhari )


Rasulullah bersabda ” Bersama bayi yang lahir itu aqiqah, maka kerna itu mengalirkanlah darah (sembelihan) untuknya, dan jauhkan baginya segala kesakitan (godaan syaitan) ( Riwayat Al-Bukhari)


BERAPA BILANGAN/BAHAGIAN BINATANG UNTUK QURBAN?
Untuk bayi lelaki, 2 ekor kambing. Untuk bayi perempuan, 1 ekor kambing. 
Ini merujuk kepada riwayat daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi).

Tetapi masih sah jika bayi lelaki hanya seekor kambing. Ini merujuk kepada riwayat dari Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)

SAYA TELAH MELAKUKAN IBADAH AQIQAH UNTUK ANAK LELAKI SAYA DENGAN SEEKOR KAMBING. BOLEHKAH SAYA TAMBAH LAGI SEEKOR UNTUK CUKUPKAN 2 EKOR KAMBING?
Boleh dan sah,

BOLEHKAH SAYA LAKSANAKAN AQIQAH UNTUK CUCU/SAUDARA KERANA IBU BAPANYA KURANG BERKEMAMPUAN SEWAKTU ITU?
Boleh dan sah,

BOLEHKAH SAYA MELAKUKAN AQIQAH UNTUK DIRI SAYA SENDIRI (TELAH AKIL BALIGH) KERANA DULU IBU BAPA BELUM MELAKUKANNYA UNTUK SAYA?
Boleh dan hukumnya harus.